Apakah formulanya untuk mencipta syurga rumah tangga? Untuk menjawab persoalan ini marilah kita sama-sama membuka minda kita dan berani menyelam ke dasar yakni asas kepada pembentukan keluarga yang bahagia. ‘Syurga dunia’ bermula dalam rumah kita – “Baiti Jannati” (Rumahku Syurgaku) yang seringkali kita dengar dan perkatakan. Rumah tangga yang aman damai, penuh kemesraan dan kasih sayang adalah bayangan syurga. Keamanan dan kesejahteraan dunia yang luas ini bermula daripada keharmonian sebuah rumah tangga. Oleh sebab itulah Allah S.W.T. telah menegaskan dalam maksud firmanNya:
“Selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah al-Tahrim 66: 6)
Sekadar meminjam kata-kata hikmah daripada Mother Teresa (yang kita orang Islam lebih berhak atas hikmah ini) ketika beliau ditanya: “Bagaimanakah hendak melahirkan dunia yang lebih aman?” Jawapan beliau ringkas:“Pulanglah ke rumah masing-masing dan sayangilah keluarga anda.”Daripada sebuah keluarga, keamanan itu akan membesar kepada sebuah masyarakat, daerah, negeri, negara dan akhirnya ke seantero dunia dan begitu juga sebaliknya.
Dapat kita perhatikan, jika bilangan rumah tangga yang bermasalah dalam sesebuah negara semakin meningkat, keamanan negara juga akan terjejas. Ini dapat dibuktikan dengan beberapa contoh salah laku jenayah remaja kini yang banyak terjadi yang berpunca daripada permasalahan rumah tangga. Sebagai contoh masalah remaja lari rumah yang jika diselidiki dan ditanya kepada para remaja berkenaan apakah punca mereka melarikan diri dari rumah, hampir kesemuanya menjawab dengan jawapan yang menjurus kepada kerana berlakunya permasalahan di rumah. Mereka mengambil keputusan untuk lari dari masalah tersebut dengan melarikan diri dari rumah. Lantas wujud pula masalah jenayah yang lain seperti dadah, pergaulan bebas, judi, sumbang mahram, arak dan sebagainya.
Fikir dan renungkanlah sejenak apakah peranan kita dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia yang akhirnya menyumbang kepada penghapusan masalah dan salahlaku jenayah masa kini. Berbalik semula kepada persoalan tadi, apakah formula mencipta syurga rumah tangga? Solusi Isu #29 memberikan jawapan kepada soalan ini berpandukan kepada 3 aspek iaitu: Iman sebagai dasar; Syariat jadi amalan; dan Akhlak jadi budaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan